mutakhir

Zuraida tak terima surat saman?

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak menerima sebarang surat saman seperti didakwa Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataannya berkata, Saifuddin tidak perlu memanipulasi fakta.

“Merujuk kepada laporan media memetik kenyataan Setiausaha Agung PKR sebentar tadi, saya menganggap ia hanya kenyataan bersifat manipulatif terhadap situasi yang berlaku pada waktu ini.

“YB (Yang Berhormat) Zuraida Kamaruddin kini berada di luar kawasan atas urusan kerja dan beliau sendiri mengesahkan bahawa tiada sebarang bentuk notis atau surat saman diterimanya daripada pihak Saifuddin seperti dimaksudkan.

“Oleh yang demikian, ternyata kenyataan berkenaan adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Saifuddin mengesahkan Zuraida bukan sahaja menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin, tetapi turut menerima satu surat saman darinya untuk dijawab.

Saifuddin dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab itu dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti, manakala surat saman berkenaan dikeluarkan oleh peguamnya kerana Zuraida didakwa mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadap dirinya.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:30pm
d