mutakhir

Terbaik abang polis

Oleh Amran Yahya

LIMA anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah membantu menukar tayar kereta seorang wanita yang pancit di Jalan Kuala Pilah-Seremban dekat Ulu Bendul pagi tadi.

Anggota berkenaan membabitkan Sarjan Samat Mohammad, Sarjan Mohammad Said Ibrahim, Koperal Mohd Zulfariezad Riduwan, Lans Koperal Raziman Zaqwan Zaini dan Konstabal

Mohamad Iskandar Shah Nor Izam yang baru selesai menjalankan Op Selamat 16 di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, anggota berkenaan melalui jalan itu jam 11 pagi dan mendapati sebuah kereta berhenti di lorong kecemasan menghala ke Kuala Pilah.

“Kereta itu berhenti di lorong itu kerana tayar belakangnya pancit.

“Tiga anggota membantu menukarkan tayar kereta manakala dua anggota lain mengawal lalu lintas. Proses selesai kurang 15 minit,” katanya dihubungi.

Amran turut berharap pengguna sentiasa berusaha memastikan keselamatan masing-masing di jalan raya.

“Bantuan seperti ini antara usaha polis untuk mengeratkan silaturahim dengan masyarakat.

“Tambahan pula, kita permudahkan urusan orang dan mudah-mudahan Allah SWT permudahkan urusan kita kembali,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:50pm
d