mutakhir

Mendarat terus ke lokap

Oleh Adnan Ibrahim

HASRAT tiga wanita dan dua lelaki warga Indonesia berusia antara 22 hingga 40 tahun yang cuba memasuki negara ini melalui lorong tikus gagal selepas ditahan polis ketika baharu mendarat di Pantai Kuari Teluk Ramunia, dekat Kota Tinggi, 10.30 malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad berkata, sepasukan pegawai dan anggota PPM bersama anggota dari Balai Polis Bayu Damai melakukan serbuan berkenaan hasil maklumat risikan dan aduan awam.

Menurutnya, hasil serbuan, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai baharu mendarat di kawasan pantai berkenaan berjaya dicekup.

“Semua PATI itu dipercayai diseludup dari negara jiran. Semua yang ditangkap akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“PATI yang ditahan sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“PPM memandang serius kejadian seumpama ini dan tidak akan berkompromi. PPM W2 akan meneruskan usaha membanteras sindiket penyeludupan migran terutama menjelangnya Sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, penguatkuasaan berterusan oleh pihaknya akan dilakukan bagi memastikan perairan negara sentiasa dipantau serta dijaga dari sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya menyeru orang awam untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan jenayah seumpama ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 12:09pm
d