mutakhir

Zuraida jawab tiga persoalan dalam surat tunjuk sebab [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

NAIB Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menjawab tiga persoalan dalam surat tunjuk sebab yang diserahkan kepada Lembaga Disiplin parti itu hari ini.

Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad berkata, Ahli Parlimen Ampang itu menjawab semua tuntutan berkenaan seperti yang diminta sebelum ini.

Katanya, ia termasuklah mengenai kenyataan dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ahli parlimen Ampang itu yang didakwa berunsur fitnah ketika majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara Disember tahun lalu.

“Beliau menjawab dengan tenang kerana semua yang dikatakan beliau di mana-mana saja termasuk majlis makan malam di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur adalah benar.

“Apabila diminta untuk memberikan penjelasan, sebagai Naib Presiden yang dipilih oleh ahli dari seluruh negara beliau mengambil tanggungjawab itu untuk menjawab kepada Lembaga Disiplin,” katanya.

Nor Hizwan berkata, Zuraida mengambil masa untuk menjawab kerana ada tiga soalan yang perlu diteliti terlebih dahulu.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Beliau dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Perkarangan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini kecoh dengan kehadiran dua kumpulan ahli parti yang ‘bertembung’ sesama sendiri.

Satu kumpulan menyokong Zuraida manakala satu lagi kumpulan mendesak agar Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu dipecat.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 1:42pm
d