mutakhir

Geng pecah rumah dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Jalan Medan Selayang, di Gombak, ditahan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan rumahnya di Taman Sri Selayang, di Gombak, dipecah masuk, semalam.

“Mangsa yang menyedari kejadian jam 6 petang semalam itu memaklumkan beberapa barangan berharga dan Perodua Viva miliknya dilarikan penjenayah.

“Susulan laporan mangsa, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak segera melancarkan operasi sebelum menemui kenderaan mangsa di kawasan parkir di daerah berkenaan jam 3.50 pagi tadi.

“Menyedari kehadiran polis, suspek warga Myanmar melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Viva milik mangsa. Namun, di lokasi itu (parkir) kita berjaya menahan warga tempatan berusia 20-an dan merampas sebuah kereta dipercayai dicuri mereka.

“Suspek melarikan diri sejauh tiga kilometer ke arah kawasan Prima Selayang sebelum ditahan anggota polis,” katanya pada sidang media di IPD Gombak, di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera pada tangan kiri akibat bergelut dengan suspek dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Hasil soal siasat dilakukan membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun di sebuah hotel di Batu Caves, beberapa jam kemudian.

“Pemeriksaan di bilik hotel berkenaan turut menemui beberapa barang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah. Kita juga rampas barangan dipercayai hasil curi seperti kad ATM, dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 2:13pm
d