mutakhir

Catuan air Melaka: Hari pertama semuanya okay

Oleh Hassan Omar

HARI pertama catuan air berjadual di Melaka, hari ini, menyaksikan kebanyakan pengguna tidak berdepan masalah besar kerana sudah membuat persediaan awal menyimpan air.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai makan dan sekolah sekitar Alor Gajah mendapati, pengguna menadah air dalam pelbagai bekas bagi mengelak kesulitan.

Peniaga makanan di Jalan Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Jamaluddin Hamzah, 60, berkata, dia membeli tong untuk menyimpan air sepanjang catuan.

“Sehari selepas Ketua Menteri Adly Zahari mengumumkan catuan air berjadual akan dilakukan minggu lalu, saya terus membeli tong yang mampu menyimpan kira-kira 100 liter air.

“Ia sangat penting untuk kegunaan sepanjang berniaga,” katanya.

Sementara itu, petugas kantin Sekolah Kebangsaan Ayer Limau (SKAL), Nora Abdul, 46, berkata, dia menadah air sehingga saat akhir sebelum bekalan mula dicatu jam 10 pagi.

“Sejak semalam saya sudah menadah air dalam pelbagai bekas seperti tong dan baldi.

“Apabila catuan bermula jam 10 pagi, makanan untuk murid sudah siap dimasak dan bekas yang digunakan untuk memasak pula siap dibersihkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 2:20pm
d