mutakhir

Syarikat Air Melaka Berhad guna lebih 30 lori edar air

Oleh Nazri Abu Bakar

LEBIH 30 lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengedar bekalan air ke sekolah berasrama, klinik pusat dan pusat hemodialisis di negeri ini bermula hari ini.

SAMB memaklumkan, tiada penghantaran lori tangki ke rumah-rumah pengguna berikutan mereka digalakkan untuk menyimpan air yang mencukupi semasa bekalan air diterima semula.

“Pusat Agihan Setempat cuma fokus kepada pengguna-pengguna yang tidak dapat menerima bekalan air semasa hari yang dijadualkan menerima bekalan air.

“Ia membabitkan kawasan-kawasan tinggi, pangsapuri dan berada di penghujung sistem rangkaian paip. Program Bekalan Air Berjadual ini berkemungkinan berlarutan sehingga keadaan empangan dan sungai kembali stabil,” katanya.

Pagi ini, SAMB sudah melaksanakan penutupan ‘valve’ bagi proses program bekalan air berjadual di seluruh Melaka membabitkan 87 valve di Melaka tengah, 41 di Alor Gajah dan 29 di Jasin yang hanya akan dibuka semula pada jam 10 pagi esok.

Maklumat mengenai Program Bekalan Air Berjadual SAMB tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.

Pengguna dinasihati supaya mendapatkan maklumat sahih daripada SAMB di laman web dan Facebook rasminya.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 2:34pm
d