mutakhir

Wanita parah tercampak keluar dari pikap

Oleh Erika George

SEORANG wanita cedera parah selepas tercampak keluar dari pikap dipandunya dalam kemalangan di Batu 6, Jalan Bintulu-Miri, malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dalam satu kenyataan hari ini berkata ketika kejadian 11 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun memandu Toyota Hilux dari bandar Bintulu ke Miri sebelum bertembung dengan sebuah kereta Toyota Camry dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun.

Katanya, sebuah jentera BBP Bintulu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Winston Tan bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kemalangan pada jam 11.23 malam.

Menurutnya, sejurus sampai di lokasi kejadian anggota Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Bintulu melakukan rawatan awal bagi menstabilkan mangsa.

“Impak pertembungan kedua-dua kenderaan menyebabkan pikap dipandu mangsa terbabas ke parit tepi jalan manakala Toyota Camry terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Difahamkan pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 3:16pm
d