mutakhir

Keinsafan yang terindah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

DUA beradik nekad berubah menjadi lebih baik selepas menjalani hukuman penjara akibat terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Keputusan itu dibuat Tan dan Ah Long (bukan nama sebenar) demi kasih sayang terhadap ibu mereka, kini berusia 66 tahun yang banyak berkorban untuk membesarkan mereka berdua.

Tan berkata, dia dan adik sudah nekad untuk tidak terbabit dengan dadah.

“Kasihan pada ibu yang sudah tua, kami akan membantunya.

“Selepas dibebaskan saya dan adik akan menumpukan perhatian kepada bengkel pertukangan kayu,” katanya ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih sempena Tahun Baru Cina di Penjara Marang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penjara Marang, Penguasa Penjara (PP) Mohd Irwan Awang dan Wakil Persatuan Bimbingan Agama Buddha Malaysia, Koobonchin.

Tan yang pernah menjalani hukuman atas kesalahan sama pada 2017 berkata, dia menjalani hukuman di Penjara Marang pada Ogos 2019, manakala adiknya, Ah Long pada September 2019.

Kedua-duanya dijangka dibebaskan pada Mei dan Mac ini, masing-masing.

Sementara ibunya dikenali sebagai Teo berkata, dia berterima kasih kepada Penjara Marang kerana menganjurkan program itu sekali gus mengubat perasaan rindu kepada dua anaknya itu.

“Ini kali pertama saya bertemu sejak mereka ditahan. Memang rasa rindu tetapi disebabkan faktor usia dan jarak saya tidak mampu datang melawat mereka selalu. “Saya harap hukuman yang mereka jalani memberi keinsafan supaya tidak lagi terjebak dengan dadah,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 3:51pm
d