mutakhir

Agong prihatin mangsa kemalangan [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semakin terserlah apabila baginda turun dari kenderaan rasmi bagi memeriksa keadaan dan bertanya khabar mangsa kemalangan berhampiran Plaza Tol MEX Putrajaya.

Ini bukan kali pertama baginda menyantuni rakyat yang ditimpa musibah dan perkara itu turut dikongsi melalui paparan laman sosial Instagram rasmi Istana Negara kira-kira jam 9 pagi tadi.

Berdasarkan video berdurasi 30 saat itu, Al-Sultan Abdullah dilaporkan dalam perjalanan ke Istana Melawati di sini bagi menghadiri Majlis Menghadap Pra Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi video berkenaan, baginda turut bersalam dan melihat keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu sebelum memasuki kenderaan rasminya. Turut dilihat di dalam kenderaan rasmi baginda ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada 5 Ogos lalu, baginda turut membantu mangsa kemalangan di jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim ketika baginda dalam perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 4:35pm
d