mutakhir

Guna laluan di utara Semenanjung

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SINDIKET pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki tempatan dipercayai menggunakan beberapa laluan di utara Semenanjung bagi melakukan kegiatan itu.

Sumber berkata, kebanyakan laluan yang dikesan digunakan sindiket berkenaan adalah masuk melalui laluan sempadan utara tanah air dengan menggunakan khidmat syarikat logistik.

“Difahamkan sindiket ini banyak menyeludup dadah dari negara jiran termasuk Thailand dan lain-lain negara.

“Malah, sindiket berkenaan juga menjadikan negara luar seperti Australia sebagai lokasi transit bagi kegiatan pengedaran dadah mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya sedang meneliti jaringan kegiatan pengedaran dadah didalangi individu berkenaan.

“Kami masih meneliti jaringan sindiket berkenaan. Malah bukan sahaja individu berkenaan diburu tetapi kami turut memburu individu lain yang terbabit dengan sindiket itu.

“Ketika ini, usaha memburu lelaki berkenaan sedang giat dijalankan bagi mengesan lokasinya kerana usaha kami bukan sekadar menyita harta dimiliki suspek,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki diburu polis selepas didapati mendalangi sindiket pengedaran dadah berikutan kegiatannya terbongkar, September tahun lalu.

Malah, lelaki berkenaan yang dikatakan melarikan diri ke negara jiran itu mampu memiliki hartanah, rumah, premis perniagaan, kenderaan mewah dan pelbagai barangan berharga bernilai lebih RM366 juta dengan menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan JSJN menjalankan risikan dan mengenal pasti pembabitan beberapa individu dan melakukan Operasi Eagle Diamond di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Januari lalu.

Abdul Hamid dipetik berkata, operasi khas itu bertujuan menyita semua harta suspek dan sekutu yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah bagi melumpuhkan kegiatan mereka susulan rampasan 12 tan kokain dicampur arang batu bernilai RM2.4 bilion di Butterworth, 10 September lalu.

Dalam pelaksanaan sitaan itu, pemeriksaan pertama di sebuah gudang di Seberang Prai menemui dadah disyaki syabu seberat 4.98 kilogram (kg), serbuk dan cecair disyaki bahan kimia (114.6 kg) serta peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM250,000.

Polis turut menyita wang tunai RM6,960, wang dalam akaun (RM21.6 juta), saham (RM143 juta), hartanah (RM198 juta), kenderaan (RM2.7 juta) dan barang kemas (RM51,800) dengan nilai keseluruhan RM366 juta lanjutan operasi itu.

-tamat

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 4:52pm
d