mutakhir

Tolong bantu adik Raisha

Oleh Redzuan Muharam

HOSPITAL ibarat rumah kedua buat Tuan Nur Raisha Mikayla, tujuh bulan yang disahkan menghidap penyakit hati kronik atau Biliary Atresia (BA) sejak lahir.

Penyakit Tuan Nur Raisha atau Raisha kini berada di tahap kronik dan disyorkan doktor untuk menjalani pembedahan pemindahan hati segera sebelum April depan membabitkan kos sebanyak RM160,000.

Bapanya, Tuan Muhammad Shahrul Azlan berkata, Raisha menjalani pemeriksaan awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu ketika berumur dua bulan namun ketiadaan pakar menyebabkan kesnya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, Raisha sudah menjalani pembedahan penyambungan bahagian usus terus ke hati ketika berusia 79 hari tetapi disahkan tidak berjaya oleh HRPZ II pada 8 Disember lalu.

“Jujurnya, sukar untuk saya dan isteri (Siti Nur Amira Ibrahim, 27) menerima hakikat Raisha mempunyai penyakit berkenaan kerana dia cahaya mata sulung kami namun kami tiada pilihan kecuali reda dengan ketentuanNya.

“Memandangkan pembedahan dijalankan sebelum ini tidak berjaya, doktor di HRPZ II meminta saya dan isteri merujuk kes Raisha di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.

“Pada 6 Januari lalu, kami sudah ke sini (PPUM) dan diberitahu doktor yang hati Raisha berada dalam keadaan kritikal dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya ketika ditemui di Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak (KWKK) PPUM, hari ini.

Tuan Muhammad Shahrul berkata, pembedahan itu kemungkinan dijalankan di PPUM tetapi bergantung kepada keadaan Raisha yang mana separuh daripada kos ditanggung kerajaan manakala selebihnya perlu ditanggung sendiri.

Katanya, dia dan isteri tidak mampu membiayai kos pembedahan itu dan kini berusaha memohon sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain berikhtiar mendapatkan wang dengan menjual barangan peribadi iaitu kamera dan komputer riba.

Disebabkan penyakit itu, Raisha perlu minum susu khas yang mana perbelanjaan untuk itu saja mencecah RM1,000 setiap bulan.

“Itu belum termasuk wang simpanan sebanyak RM10,000 yang dibelanjakan sepanjang dua minggu Raisha dirawat di PPUM dan kos itu merangkumi caj pemeriksaan terperinci isteri sebagai bakal penderma dan anak (RM2,800), vaksin (RM1,500) dan tiket perbelanjaan pergi dan balik dari Terengganu ke Kuala Lumpur.

“Memang ada sumbangan diterima tetapi tidak tahu ia bertahan sampai bila memandangkan isteri sudah tidak bekerja sejak sebulan lalu manakala saya sedang menunggu kelulusan majikan untuk berhenti bagi menguruskan Raisha yang memerlukan pemantauan rapi,” katanya yang menetap di Kuala Besut, Terengganu.

Menurutnya, doktor tidak memberi jaminan pembedahan dijalankan nanti akan berjaya kerana kemungkinan mengalami komplikasi tetap ada.

Namun, Tuan Muhammad Shahrul dan isterinya tetap menaruh harapan untuk melihat anaknya sihat seperti bayi yang lain.

“Menurut doktor, peluang sama ada pembedahan itu berjaya atau tidak adalah 50-50 jadi saya dan isteri hanya mampu berdoa serta berserah kepada Allah.

“Ikutkan, saya mahu menderma hati untuk Raisha tetapi pemeriksaan dijalankan mendapati isteri lebih sesuai menjadi penderma. Diharap, semuanya berjalan lancar dan terima kasih kepada mereka yang prihatin serta memberi sumbangan walaupun tidak mengenali kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Raisha boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) menerusi akaun Affin Islamic Bank bernombor 105280004378 atau Maybank di nombor 514271655386.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 6:01pm
d