mutakhir

Nak beriadah pun kena ada permit

Oleh Mohd Rafi Mamat

INDIVIDU yang berhasrat ke hutan simpan kekal di Pahang, termasuk untuk beriadah perlu memiliki permit atau kebenaran bertulis daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, permohonan boleh dibuat di Pejabat Hutan Daerah (PHD) dan JPNP.

Katanya, tahun lalu PHD Jerantut menahan lebih 50 individu yang memasuki Hutan Simpan Berkelah tanpa permit.

“Mereka ke situ dengan pelbagai tujuan seperti memancing, membuat kajian, memburu, beriadah bersama keluarga dan aktiviti menunggang motosikal serta pacuan empat roda.

“Saya berharap pihak yang memasuki hutan simpan di negeri ini supaya dapat menghubungi PHD kawasan terbabit bagi mendapatkan permit atau kebenaran bertulis daripada pegawai.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan pihak yang menceroboh hutan simpan, banyak kes pihak yang berada dalam kawasan hutan simpan bertindak mengambil hasil hutan tanpa kebenaran,” katanya hari ini.

Katanya, bayaran RM10 dikenakan untuk setiap permit yang dikeluarkan, tanpa sebarang pengecualian.

“Tindakan mengikut Sesyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan pada individu yang tiada permit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak yang bercadang masuk ke hutan simpan untuk beriadah terutama membabitkan kawasan yang terdapat jeram dan sungai.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 6:08pm
d