mutakhir

Ban pecah, kampung Ginching tenggelam

Oleh Norzamira Che Noh

EMPAT rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Jalan Haji Kadir di Kampung Ginching Hilir, di Sepang, Selangor, ditenggelami banjir sejurus ban di kampung berkenaan pecah.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata ban berkenaan pecah ekoran hujan lebat dan sungai tidak mampu menampung arus sungai deras.

“Smart Selangor Command Center (SSCC) menerima maklumat terdapat ban di Kampung Ginching Hilir pecah pada jam 5.23 petang tadi dan sehingga kini difahamkan empat rumah PPRT di Jalan Haji Kadir terjejas.

“Kami percaya ban berkenaan yang terletak antara 100 hingga 300 meter dari Sungai Labu, pecah disebabkan oleh hujan lebat yang menyebabkan ban tidak mampu menampung arus sungai yang deras,” katanya tadi.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Ahmad Fairuz memaklumkan, pihaknya kini masih menyemak maklumat terperinci berhubung insiden berkenaan termasuk jumlah mangsa yang terbabit.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 8:41pm
d