mutakhir

265 pekerja MAPS terima pampasan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEMUA 265 pekerja berstatus tetap dan kontrak taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang diberhentikan serta-merta akan diberi pampasan.

Pengarah Syarikat Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), Zadrul Insan Mustadza berkata, ia adalah susulan pengeluaran notis penutupan MAPS semalam.

“Pekerja yang terkesan dengan tindakan ini akan diberikan pampasan mengikut garis panduan Akta Pekerja 1955.

“Pihak syarikat sudah mengambil tindakan proaktif dalam usaha membantu pekerja dari pelbagai aspek,” katanya dalam satu kenyataan bersama seorang lagi Pengarah Syarikat, Yang Idros Yang Razali, hari ini.

Zadrul Insan berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) hadir untuk memberi taklimat berkenaan pengurusan kewangan, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkesempatan untuk menjelaskan mengenai tuntutan Sistem Insuran Pekerjaan PERKESO (SIP).

“Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga turut sama hadir untuk memberikan bantuan kaunseling kepada pekerja.

“Pihak syarikat juga sudah bekerjasama dengan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan baru kepada pekerja terutamanya dalam bidang makanan dan minuman, khidmat pelanggan dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Sunway Lost World Of Tambun, Swiss-Garden, Hovid, Taiko Group dan PCBL dalam membuka kaunter temu duga juga sangat dihargai.

“Terdapat juga beberapa syarikat yang mengiklankan kekosongan jawatan melalui poster dan dihebahkan kepada pekerja,” katanya.

Katanya, sebarang kesulitan akibat penutupan MAPS sangat dikesali.

Berita berkaitan

Pekerja MAPS sudah dimaklumkan

Tidak sempat rasa, MAPS dah tutup

MAPS tutup operasi [METROTV]

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 11:13pm
d