mutakhir

18 GRO kena cekup

Oleh Zuhainy Zulkiffli

CUBAAN 18 pelayan pelanggan (GRO) melarikan diri dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Madras dekat Georgetown, gagal apabila mereka dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, kumpulan GRO terbabit diberkas ketika leka berhibur dengan pasangan masing-masing.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan terbabit dibuat hasil daripada risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 16 wanita warga Thailand dan dua wanita warga Laos yang bekerja di pusat hiburan terbabit ditahan.

“Semakan mendapati kesemua mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial. Mereka akan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat JIM Pulau Pinang bagi proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 8:30am
d