mutakhir

Sembunyi bawah tilam...

Oleh Nor Farhani Che Ad

TAKTIK seorang penagih dadah bersembunyi di bawah tilam bagi mengelakkan diri daripada dicekup pihak berkuasa gagal apabila dia ditahan dalam operasi di Yan, awal pagi hari ini.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan di rumahnya di Kampung Teluk Mat Acheh.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, individu terbabit adalah antara lapan lelaki yang ditahan dalam operasi yang diadakan bermula 8 malam tadi.

“Semakan mendapati dia pernah menjalani hukuman di penjara Jawi, Pulau Pinang selama enam bulan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis opiat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, operasi turut dijalankan di Kampung Raja Guar Chempedak serta Hentian Rehat & Rawat Gurun arah selatan yang disertai oleh beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 50 tahun.

Katanya, mereka dibawa balik ke pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif ganja, methamphetamine dan opiat.

“Mereka disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 8:40am
d