mutakhir

Duit lesap ditipu 'Datuk'

Oleh Shahrinnahar Latib

PERUNDING syarikat terpaksa menanggung kerugian RM310,000 selepas diperdaya tiga lelaki termasuk seorang kononnya bergelar Datuk yang menawarkan pelaburan projek pembalakan yang tidak wujud, akhir tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 70 tahun itu pada mulanya berjumpa dengan dua lelaki yang diperkenalkan oleh rakannya untuk berbincang projek balak di Kuala Lipis pada 4 Oktober lalu.

“Pada keesokan hari, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kononnya bergelar Datuk dan bercakap mengenai projek berkenaan.

“Suspek mendakwa dia memerlukan dana untuk meneruskan projek balak yang dijalankan, malah lelaki berkenaan setiap hari menghubungi mangsa untuk meminta duit,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pada 30 Oktober lalu, mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 di sebuah restoran di Bentong untuk tujuan projek balak berkenaan.

“Namun, suspek masih lagi meminta mangsa membuat bayaran. Bermula 31 Oktober lalu hingga 7 November tahun lalu, mangsa membuat tujuh kali pindahan wang ke dalam satu akaun yang diberikan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM310,000.

“Mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat semakan di Pejabat Hutan Bentong dan mendapati surat berkenaan projek pembalakan berkenaan adalah palsu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mengambil keputusan untuk membatalkan segala projek dengan suspek dan ingin mereka memulangkan semula duitnya yang berjumlah RM310,000.

“Mangsa kemudian datang ke rumah salah seorang suspek di Temerloh untuk membincangkan perkara berkenaan, namun lelaki itu tidak memberi kerjasama.

“Suspek juga menghantar mesej melalui WhatsApp yang berbau ancaman kepada mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan selanjutnya oleh polis,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 9:39am
d