mutakhir

Mayat reput dalam tong sampah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BAU busuk dari tong sampah di kawasan belukar berhampiran Jalan Paya Terubong, dekat Georgetown membawa kepada penemuan mayat reput, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.20 malam daripada peniaga di kawasan berkenaan berhubung bau busuk berhampiran tiang elektrik di tepi lereng bukit di situ.

Peniaga yang dalam perjalanan ke kebun itu kemudian memeriksa tong sampah berkenaan dan mendapati rangka berbentuk gigi manusia sebelum menghubungi pihak polis.

“Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati terdapat tong sampah berwarna hijau dengan penutupnya terbuka dan mengandungi rangka manusia dalam keadaan reput.

“Polis turut menjumpai bantal dengan kesan dipercayai darah, berhampiran tong sampah terbabit,” katanya kepada media, di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, mayat terbabit sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu bagi membantu siasatan termasuk mengesan pihak yang meninggalkan tong sampah berisi mayat reput, dipercayai sudah mati lebih lima hari,” katanya lagi.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 12:48pm
d