mutakhir

Mahu tawan Everest ketika Ramadan

Oleh Samadi Ahmad

SERAMAI enam pendaki negara akan menyertai Ekspedisi Wawasan Everest 2020 bagi menawan gunung dengan ketinggian 8,848 meter dari aras laut bermula 1 April hingga 5 Jun depan.

Ekspedisi anjuran Kelab Eksplorasi Altitud itu bertujuan menawan puncak tertinggi dunia dengan mempromosi dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa peserta.

Presiden Kelab Eksplorasi Altitud, Azim Afif Ishak, berkata, pemilihan ekspedisi itu diadakan pada bulan Ramadan disebabkan ketika itu cuaca paling sesuai untuk mendaki ke puncak.

Azim berkata, perkara itu sudah dirujuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pada Mac tahun lalu dan beliau memberi penjelasan dan garis panduan berkenaan ekspedisi ketika di bulan Ramadan.

Menurut beliau, ekspedisi ini sangat menarik kerana salah seorang peserta dari kalangan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, 30, yang berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (4,130 meter dari aras laut) pada Ogos tahun lalu.

Azim yang juga pendaki Everest 2016 berkata, sekiranya Muhammad Hawari berjaya menamatkan pendakian, beliau adalah pendaki OKU pertama negara sampai di puncak Everest.

"Program ini dirancang pada Januari tahun lalu melalui perbincangan dan persetujuan bersama yang sebelum ini pernah mengadakan beberapa pendakian secara bersama," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Program yang akan berlangsung selama dua bulan itu menelan belanja sebanyak RM2 juta selain pihaknya mengharapkan sumbangan dari pihak luar.

Selain Muhammad Hawari, lima pendaki lain adalah Ayu Wanirah Naharuddin, 28, dari Tawau, Sabah ( bertugas sebagai kualiti analisis); Rina Jordana Adnan,39, dari Selangor (Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Majlis Bandaraya Shah Alam); Alvin Ching Yee Lim, 47, dari Selangor( pelukis); Chandra Kanthen Jumbulingam, 41, dari Sungai Petani, Kedah (guru) dan Ahmad Murshid Maktar, 33, dari Sungai Bakap,Pulau Pinang ( Senior Eksekutif Teknolog Maklumat).

Azim berkata, kumpulan pendaki itu sudah mempunyai banyak pengalaman mendaki di dalam dan luar negara dan ia memudahkan mereka untuk menyertai ekspedisi ini.

Menurut beliau, sebagai persiapan, peserta sudah menjalani latihan dengan mendaki Kem Induk Everest (EBC) dan Island Peak di Nepal awal Disember tahun lalu.

" Selain dapat mempromosikan semangat perpaduan ekspedisi itu juga dapat mengangkat nama negara di mata dunia dalam bidang sukan ekstrem".

"Setakat ini kami masih kekurangan dana dan mengharapkan pihak kerajaan dan swasta dapat membantu bagi merealisasikan ekspedisi ini," katanya.

Keterangan gambar.

PUTRAJAYA 30 JANUARI 2020.Enam peserta negara akanmenyertai cabaranEkspedisi Wawasan Everest 2020 (dari kanan) Ayu Wanirah Naharuddin, Rina Jordana Adnan,

Muhammad Hawari, Azim Afif Ishak, Ahmad Murshid Maktar,Alvin Ching Yee Lim dan Chandra Kanthen Jumbulingam.STR/SAMADI AHMAD.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 4:10pm
d