mutakhir

Ah Long jual kad ATM RM300

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SINDIKET pinjaman wang haram atau Ah Long dikesan menjual kad juruwang automatik (ATM) peminjam hanya RM300 kepada pihak tertentu bagi mengaut keuntungan mudah.

Kegiatan itu terbongkar berikutan beberapa tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, hasil soal siasat mendapati sindiket itu dipercayai menjual kad ATM milik peminjam mereka.

Beliau berkata, ada di kalangan ahli sindiket itu tugasnya hanya mencari kad ATM sebelum menjualnya semula dengan harga yang murah iaitu RM300 sekeping.

“Biasanya peminjam yang ingin membuat pinjaman kepada Ah Long akan menyerahkan kad ATM sebagai cagaran, namun tidak menyedari kad berkenaan akan dijual kepada pihak tertentu.

“Apabila ada kemasukan wang, mangsa tidak boleh memeriksa akaun kerana ia sudah dijual kepada pihak lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Pesara Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Afandi Senin dan Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Muhammad Azlee Abdullah.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya melengkapkan 25,000 kertas siasatan membabitkan pelbagai kes penipuan di negara ini dengan jumlah kerugian membabitkan RM6.2 billion.

Katanya, sebanyak 15,000 tangkapan dilakukan pada tahun lalu membabitkan pelbagai penipuan membabitkan suspek tempatan dan luar negara.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak mudah memberi kad ATM kepada pihak lain kerana bimbang disalahgunakan pihak tertentu,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 4:18pm
d