mutakhir

RM1 juta dalam 2 minggu

Oleh Siti Rohana Idris

BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan dipercayai cuba diseludup bernilai hampir RM1 juta menerusi Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand.

Rampasan itu termasuk dadah, beras, petrol, diesel, minyak masak, rokok dan arak, selain 19 kenderaan yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa (Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan), Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embong berkata, dalam operasi bermula 16 Januari itu juga seramai 26 individu berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditangkap.

“Rampasan dadah dan ketum paling tinggi iaitu 13 kes diikuti beras 11 kes.

“Dalam operasi ini juga kami merampas 19 kenderaan yang digunakan untuk kegiatan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan termasuk sebuah van Toyota Hiace yang dilaporkan hilang di Jelutong, Selangor,” katanya ketika sidang media di markas taktikal Kuala Jambu, di Tumpat hari ini.

Ab Aziz berkata, dalam rampasan terbaru semalam, pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM74,500, di pangkalan haram di Kampung Simpangan.

Beliau berkata, ia hasil intipan pihak berkuasa di sebuah stor di tebing Sungai Golok yang mengesan beberapa individu sedang memunggah kotak ke dalam dua van, pada jam 3.15 pagi.

“Sebaik diserbu, semua lelaki terbabit melarikan diri dan seorang daripada mereka yang berada di dalam stor ditahan.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui 12 kotak dan 11 guni yang mengandungi pelbagai mercun,” katanya.

Beliau berkata, dua van turut dirampas yang mana sebuah daripadanya memiliki nombor casis dan nombor enjin sudah diganggu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1959.

Sementara, suspek berusia 36 tahun diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 4:26pm
d