mutakhir

Siakap putih rembat pancing

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

CUBAAN kali pertama seorang lelaki memancing di muara Sungai Terengganu, berhampiran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu membuahkan hasil apabila berjaya menaikkan ikan siakap putih seberat sembilan kilogram.

Asraff Awang, 32 yang juga peniaga pasar malam berkata, dia juga tidak mempunyai peralatan lengkap memandangkan sebelum ini hanya memancing di kolam berbayar.

“Peralatan pancing yang digunakan untuk memancing di muara berlainan kolam ikan berbayar, jadi saya pinjam peralatan kawan.

“Memang sukar memancing di muara kerana ia kawasan berbatu serta berisiko namun kerana ingin mencuba saya tetap meneruskan aktiviti itu.

“Selepas setengah jam, pancing saya direntap siakap putih pada jam 6 petang. Gemuruh darah saya ketika cuba menaikkannya.

“Alhamdulillah, selepas 20 minit ikan berjaya dinaikkan,” katanya yang menggunakan umpan udang hidup.

Menurutnya, selepas ikan dinaikkan dia membawanya ke restoran sekitar bandar raya untuk dimasak sebelum dijamu kepada rakan.

“Jika diikutkan harga pasaran ikan itu RM25 hingga RM28 sekilogram tetapi ikan siakap putih pertama ini bukan untuk dijual tetapi khas untuk kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu rakannya, Faiz Basri, 36, dari Kampung Paloh berkata, muara Sungai Kuala Terengganu memang menjadi tumpuan kaki pancing.

“Di situ banyak siakap putih bersaiz besar. Saya sendiri pernah menaikkan siakap putih seberat 8.5 kilogram (kg).

“Rekod ikan siakap putih terbesar yang pernah dipancing di situ adalah seberat 18 dicatatkan lima tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 4:44pm
d