mutakhir

Pindah pesakit obesiti guna lori

Oleh Mohd Amin Jalil

SERAMAI lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 melakukan bantuan khidmat khas memindahkan seorang pesakit obesiti ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ), Seremban, pagi hari ini.

Komander Operasi BBP Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, pesakit Klinik Kesihatan Rantau, G Doraisingam, 44, itu dari Kampung Takau Rantau dekat Seremban.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada Klinik Kesihatan Rantau pada 9.34 pagi hari ini mengenai bantuan diperlukan bagi memindahkan pesakit terbabit.

“Pihak klinik memohon bantuan bomba bagi memindahkan Doraisingam, yang mempunyai berat badan 190 kilogram.

“Kami menggunakan lori lima tan bagi menghantar pesakit terbabit ke HTJ. Seramai lapan anggota bomba dibantu tiga pegawai serta kakitangan perubatan ketika membantu memindahkan pesakit itu.

“Operasi itu selesai pada 10.32 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mohd Syazwan berkata, berdasarkan maklumat daripada isteri pesakit, S Kanagavalli, 38, suaminya mengadu demam sejak tiga hari lalu serta mengalami bengkak pada kaki kerana masalah penyakit kencing manis.

“Kanagavali memberitahu suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2003.

“Akibat itu, dia menjalani pembedahan pada bahagian kaki hingga mengakibatkan sebelah kakinya pendek,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 5:41pm
d