mutakhir

Krisis air Melaka masih belum teruk

Oleh Amir Mamat

CATUAN bekalan air berjadual yang dilaksanakan ketika ini tidak seteruk krisis yang berlaku pada 1991, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau berkata, walaupun negeri itu mengalami kekurangan kira-kira 50 juta liter air sehari daripada jumlah sebenar penggunaan sehingga memaksa catuan bekalan dilakukan, pihaknya sudah bersedia dengan menyediakan pelan kontingensi.

Menurutnya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sentiasa berusaha meningkat serta mengekalkan paras air di semua empangan, terutama di Empangan Durian Tunggal yang menyalurkan sumber air bersih kepada kira-kira 60 peratus penduduk.

“Kadar penggunaan air di seluruh negeri ini adalah sekitar 600 juta liter sehari dan fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan sumber keluar masuk air dapat diimbangi.

“Sumber air yang masuk ke empangan adalah rendah berbanding yang kita guna,” katanya selepas menghadiri Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini.

Oleh itu, Adly berkata, dalam tempoh tiga tahun, kerajaan akan memastikan air masuk dan keluar empangan kepada pengguna adalah seimbang.

Beliau turut memberi jaminan krisis air seperti yang berlaku pada 1991 itu tidak akan berulang.

Sehingga tengah hari tadi, air di Empangan Durian Tunggal berada pada paras 33.1 peratus, diikuti Empangan Jus (33 peratus) dan Empangan Asahan (58 peratus).

Semalam, Melaka mula melaksanakan catuan bekalan air secara berjadual membabitkan 550,673 pengguna bersamaan 62.8 peratus di tiga daerah di negeri itu iaitu Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Langkah itu bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua monsun Timur Laut yang dijangka berakhir penghujung Mac depan.

Bagaimanapun catuan itu tidak membabitkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.

SAMB turut menyediakan 132 pusat agihan setempat (OSC) di kawasan yang dijangkakan mengalami catuan bekalan air iaitu masing-masing 97 OSC di daerah Melaka Tengah, 19 OSC di Alor Gajah dan 16 OSC di Jasin.

Sementara itu, mengulas dakwaan berlaku gangguan kualiti air yang menyebabkan air bertukar keruh di beberapa kawasan, Adly berkata, masyarakat dinasihati untuk tidak panik dan segera membuat aduan kepada kepada SAMB.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 6:24pm
d