mutakhir

Ditahan ketika asyik bekerja

Oleh Zaid Salim

SUAMI isteri warga Indonesia antara 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu sekitar Kuala Terengganu, hari ini.

Pasangan terbabit berusia 44 dan 40 tahun ditahan ketika sedang bekerja di tapak pembinaan bangunan di Kampung Bukit Bayas, pada 12.20 tengah hari.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Malik Zaliman Deraman berkata, operasi bermula jam 9.30 pagi hingga 6 petang itu membabitkan 19 anggota diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Mohd Muda.

“Dalam serbuan di tapak projek itu, kita memeriksa 44 pekerja asing, tetapi 15 daripadanya termasuk lapan warga Myanmar dan tujuh Indonesia berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua ditahan mengikut Seksyen 51(3)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya.

Malik Zaliman berkata, kesemua dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ketika serbuan, semua PATI terbabit sedang asyik bekerja dan tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Ada di antara mereka cuba melarikan diri, tetapi anggota kita berjaya menahan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 7:41pm
d