mutakhir

Bukan lagi hotel 'berhantu' di Ipoh

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SELEPAS 10 tahun ditutup, Hotel Grand Majestic miliki Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang terletak berhampiran Stesen Keretapi Ipoh, Perak, akan dibangunkan semula dengan kos RM108.3 juta.

Difahamkan hotel itu yang tidak beroperasi sejak 2010 akan dibuka semula dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengoperasian semula hotel itu dijangka bermula pada 2023 adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Stesen Keretapi Ipoh oleh RAC dengan kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, projek pemuliharaan dan pembangunan semula hotel itu yang menggunakan kaedah bina-urus-pindah (BOT), ia akan dijalankan oleh Majujaya Hebat Sdn Bhd selepas memeterai perjanjian pajakan dan pembangunan dengan RAC.

Menurut Loke, RAC bersetuju memajak bangunan dan operasi hotel itu kepada Majujaya Hebat selama 30 tahun dengan pilihan penyambungan selama 10 tahun dan tambahan 20 tahun tertakluk kepada terma dan syarat menerusi perundingan serta persetujuan Kabinet.

“RAC juga akan menerima RM45 juta dalam tempoh pajakan 30 tahun dan pulangan akan dilaburkan semula dalam sektor kereta api seperti menambah baik stesen-stesen kereta api. Ini adalah perancangan jangka panjang untuk memastikan sistem rel kita dapat terus berkembang maju,” kata di Putrajaya tadi.

Terdahulu, Loke dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian Bagi Pajakan dan Pembangunan Hotel Grand Majestic yang ditandatangani oleh Pengurus Besar RAC Azhar Ahmad dan Pengarah Majujaya Hebat Patrick On Kok Kheng.

Hotel itu direka bentuk oleh Arthur Benison Hubback menggunakan seni bina Moorish, mula beroperasi pada 1935 seterusnya ditutup pada 2010.

Loke dalam ucapannya berkata pengoperasian semula Hotel Grand Majestic akan memberi impak yang besar kepada penggunaan pengangkutan awam seperti kereta api, teksi, perkhidmatan e-hailing dan juga bas.

Sementara itu, Azhar dalam ucapannya berkata selain mengurus dan membangunkan semula hotel tersebut, Majujaya Hebat akan turut menaik taraf beberapa kawasan di sekitar Stesen Keretapi Ipoh.

Menurutnya, fasa pertama pembangunan hotel tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan merangkumi kerja membaik pulih hotel dan Stesen Keretapi Ipoh, manakala fasa kedua membabitkan pembinaan bangunan blok baharu termasuk penambahan sebanyak 200 bilik.

“Bagi pihak RAC, usaha menghidupkan kembali Hotel Grand Majestic akan membantu RAC untuk kekal stabil dari sudut kewangan memandangkan RAC tidak lagi bergantung kepada sumber peruntukan daripada kerajaan sejak 2015 bagi tujuan operasinya.

“Selain itu, hasil yang dijana daripada aktiviti ini akan digunakan bagi tujuan peningkatan infrastruktur sektor rel dan selaku pengurus aset, ia adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan infrastruktur yang digunakan orang ramai berada dalam keadaan baik dan memuaskan,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 8:10pm
d