mutakhir

Peluru tersangkut di pukat

Oleh Melvin Joni

KEMUSYKILAN seorang nelayan di Kuching terhadap objek besi yang tersangkut pada pukatnya, semalam, terjawab apabila ia disahkan peluru tinggalan perang.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, lelaki berusia 34 dari Kampung Muhibbah itu menghubungi polis pada 9.46 pagi, dan memberitahu menemui tiga biji objek besi yang menyerupai peluru.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom tiba bersama Unit Persenjataan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan disahkan bahawa objek yang ditemui adalah peluru tinggalan perang.

“Pengadu menemui objek itu di tebing sungai semalam sewaktu memukat menangkap ikan dan membawanya balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Awang Din berkata dua butir peluru dan satu kelongsong yang ditemui itu kemudian dibawa balik ke Pangkalan Unit Persenjataan IPK Sarawak untuk tindakan lanjut.

Justeru, beliau mengingatkan orang awam supaya segera memaklumkan penemuan sebarang objek yang disyaki peluru atau bahan letupan kepada polis untuk diambil tindakan sewajarnya.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 9:39am
d