mutakhir

Guna Toyota Hilux ibu untuk menyamun [METROTV]

Oleh Adnan Ibrahim

SEORANG lelaki berusia 21 tahun membawa dua rakannya berusia 18 dan 22 tahun untuk menyamun tujuh kedai serbaneka 24 jam menggunakan pacuan empat roda Toyota Hilux ibunya.

Bagaimanapun, mereka ditahan ketika sedang membahagikan barangan samun di sebuah rumah di Jalan Padang Tembak dekat sini, 6 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil siasatan mendapati, suspek melakukan samun dua malam berturut-turut iaitu antara 12 tengah malam hingga 5 pagi, pada 29 dan 30 Januari.

“Pada 29 Januari, dua daripada suspek terlebih dulu menyamun dua kedai serbaneka di sekitar Kluang dengan menunggang Yamaha 125ZR.

“Mungkin tidak puas dengan hasil samun itu, suspek menggunakan pacuan empat roda dan menyamun lima buah kedai serbaneka 24 jam yang lain dalam tempoh 1 jam 20 minit bermula jam 4.22 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.

Menurut beliau, hasil laporan dibuat, pada jam 6 pagi, anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kluang menyerbu sebuah rumah di Jalan Padang Tembak sebelum menahan ketiga-tiga suspek yang sedang membahagikan barangan samun.

Menurut Mohd Abduh, pihaknya antara lain turut merampas 10 sampul surat, empat telefon bimbit dan empat dompet.

“Turut dirampas dua topi keledar, seutas jam tangan, wang RM2,274, Toyota Hilux serta Yamaha 125ZR.

“Ujian air kencing mendapati ketiga-tiganya positif syabu. Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Semua suspek mengaku terbabit dalam tujuh kes samun kedai serbaneka 24 jam itu.

“Mereka direman hingga 5 Februari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 3:28pm
d