mutakhir

Milo pun kau kebas

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG lelaki ditahan 7.30 malam Selasa lalu ketika berlegar-legar di pekan Telupid sambil membawa plastik berisi pek Milo.

Siasatan mendapati, terdahulu, suspek yang berusia 34 tahun itu memecah masuk sebuah kedai runcit di Pasar Tamu Telupid dan mencuri empat pek Milo.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, pada 7.30 malam, pihaknya dimaklumkan orang awam yang melihat suspek berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas ditahan, suspek membawa kami ke lokasi dia menyembunyikan baki pek Milo dicurinya di kedai runcit berkenaan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Kasim, siasatan turut mendapati, suspek terbabit mencuri kira-kira RM1,000 daripada tabung sebuah masjid baru-baru ini.

“Suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 4:10pm
d