mutakhir

Ada apa dalam guni?

Oleh Juwan Riduan

DUA lelaki ditahan bersama-sama 67.4 kilogram daun ketum yang disimpan dalam guni dan plastik hitam pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Narayat di sini, kelmarin.

Serbuan Ops Ice Breaker jam 11.30 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata,suspek terbabit berusia 20 tahun dan 30 tahun.

“Kedua-duanya dibawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan 57 individu termasuk dua lelaki dipercayai tokan dadah di daerah ini pada Ops Damn Tokan yang bermula 18 Januari hingga hari ini.

“Sepanjang operasi, kami turut merampas 26.09 gram syabu bernilai RM4,000.

“Kedua-dua suspek lelaki ini kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas. Mereka dipercayai tokan aktif mengedar dadah di sekitar Keningau, Tambunan, Nabawan dan Sook,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 4:37pm
d