mutakhir

Geng pecah masjid, surau tumpas [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

POLIS menahan tiga ahli Geng Wira terdiri suami isteri dan abang kepada wanita itu kerana terbabit dalam jenayah pecah masjid dan surau di sekitar Manjung, Selasa.

Mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di tepi jalan di Segari pada 6.25 petang selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, penahanan mereka susulan laporan kecurian diterima daripada Pengerusi Masjid Al-Falah Batu 16, Ayer Tawar, 1 Januari lalu.

Menurutnya, polis turut merampas peralatan pecah rumah dan sebuah Perodua Kancil, selain barangan elektrik antaranya televisyen, penghawa dingin, penyedut hampagas dan kipas.

“Hasil maklumat polis berjaya menahan tiga individu berusia antara 20 hingga 34 tahun dan mereka dipercayai sudah lebih setahun aktif melakukan kegiatan pecah dan curi barangan masjid.

“Modus operandi kumpulan ini akan melakukan kegiatan itu pada awal pagi dan sasaran mereka adalah masjid di sekitar Manjung sebelum menjual barangan dicuri kepada sebuah premis di Kamunting, Taiping.

“Malah, kumpulan itu bukan saja mensasarkan barangan elektrik tetapi turut mengambil duit tabung masjid,” katanya pada sidang media di IPD Manjung, hari ini.

Nor Omar berkata, saringan ujian air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah dan kedua-duanya juga mempunyai rekod jenayah.

“Penahanan ketiga-tiga suspek berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah masjid di sekitar Manjung, Ayer Tawar, Pantai Remis dan Beruas.

“Kesemua suspek direman tiga hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 5:34pm
d