mutakhir

Suami isteri bergusti di rumah

Oleh Juwan Riduan

SEORANG lelaki ditahan polis selepas aksi ala gusti dia membelasah isterinya tular di media sosial sejak pagi tadi.

Dalam rakaman video berdurasi lima minit dua saat itu, suspek dan isteri berusia 34 tahun bertengkar dan berlaku pergelutan hingga mangsa dibelasah.

Ibu mangsa yang turut kelihatan dalam rakaman itu cuba campur tangan namun tidak diendahkan oleh suspek.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran, jam 11.16 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menahan suspek yang juga suami mangsa, 9 pagi tadi di rumah mereka di sebuah kampung di daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang juga suri rumah dikasari suspek kerana dia tidak puas hati mangsa menghadiri majlis hari lahir saudaranya tanpa pengetahuan suspek.

“Mangsa dan suspek tinggal berasingan sejak Oktober tahun lalu.

“Suspek turut memaksa mangsa untuk kembali semula ke rumah sehingga berlaku pertengkaran dan pergelutan,” katanya dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata, kejadian itu turut tular dalam media sosial melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak pagi tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 5:50pm
d