mutakhir

Dua lif baharu di MSSAAS

Oleh BERNAMA

JEMAAH warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam, kini boleh menarik nafas lega apabila dua lif sedia ada yang rosak akan diganti baharu selewat-lewatnya dalam tempoh enam bulan hingga setahun lagi.

Kos penggantian berjumlah RM800,000 bagi kedua-dua lif yang tidak boleh digunakan sejak dua tahun lalu itu diperuntukkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Peruntukan itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam bentuk replika cek sebagai simbolik kepada Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi pihak MSSASS sebelum solat Jumaat di masjid berkenaan, hari ini.

Hadir sama pada penyerahan replika cek peruntukan itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan yang disalurkan untuk menukar baharu kedua-dua lif itu diharap dapat memberi manfaat besar kepada golongan jemaah warga emas dan kurang upaya pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata, kos penukaran kedua-dua lif baharu itu agak mahal berikutan ia perlu ditempah khas mengikut struktur reka bentuk binaan masjid berkenaan.

“Pengoperasian semula kedua-dua lif ini dilihat boleh memberi manfaat kepada jemaah yang memerlukan khususnya yang berkerusi roda kerana di sini, kira-kira 300 hingga 600 jemaah menunaikan solat pada satu-satu waktu solat.

“Kami (JAIS) amat berterima kasih kepada kementerian (Hal Ehwal Ekonomi) kerana hasrat jemaah (untuk lif ini beroperasi semula) tercapai,” katanya sambil menambah kerja pembinaan lif baharu akan dimulakan secepat mungkin.

Beliau berkata, bagi masjid serta surau lain di seluruh Selangor, JAIS akan terus membantu mengikut peruntukan kewangan disalurkan kerajaan negeri.

Masjid negeri dua tingkat yang terletak di Seksyen 14 itu turut dilengkapi empat eskalator untuk kegunaan jemaah lelaki dan wanita selain ia mampu memuatkan sehingga 20,000 jemaah pada satu-satu masa.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 6:29pm
d