mutakhir

Selamba rampas kad kuasa polis

Oleh Zuhainy Zulkiffli

LELAKI berusia 42 tahun ditahan selepas menghalang tugas polis dan membuat provokasi di kawasan parkir berhampiran Taman Mekar, Mak Mandin, Butterworth, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11.08 malam itu, anggota Balai Polis Mak Mandin yang sedang bertugas menjalankan rondaan Cegah Jenayah Op Limau melihat lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, suspek yang berada di dalam kereta cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Anggota polis sekali lagi memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa namun suspek bertindak merampas kad berkenaan.

“Suspek enggan memberi kerjasama apabila diminta kad pengenalan serta membuat provokasi terhadap anggota bertugas sehingga berlaku pergelutan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Berikutan itu, Noorzainy berkata, anggota polis dan suspek mengalami luka kecil semasa tangkapan dibuat.

Hasil siasatan mendapati suspek enggan memberi kerjasama kepada polis bagi memeriksa keretanya dan membuat provokasi dengan mengatakan pihak polis juga tidak boleh memeriksanya.

“Pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Suspek kini direman bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 9:47pm
d