mutakhir

Teater sebar mesej cegah rasuah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TEATER mampu menjadi salah satu medium menyebarkan mesej mencegah rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, pementasan teater boleh dijadikan medium menyebarkan mesej mencegah rasuah.

“Saya juga teruja dan puas hati dengan persembahan malam ini dan ribuan terima kasih kepada Istana Budaya memberi kerjasama.

“Ini persembahan yang terbaik dan harap mesej itu sampai kepada penonton,” katanya selepas pementasan teater muzikal Semarak Pertiwiku anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Istana Budaya malam ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah ( GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussian Aljunid; Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengarah Teater, Muhammad Azri Ali berkata, beliau bersyukur segala yang dirancang berjalan lancar sepanjang dua hari pementasan Teater.

“Alhamdulillah ia tercapai dan mesej mengenai integriti dapat disampaikan dalam pementasan ini,” katanya.

Terdahulu ia mendapat sambutan menggalakkan apabila disaksikan lebih 3,000 hadirin sepanjang dua hari dipentaskan.

Teater Semarak Pertiwiku pernah dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai tahun lalu dan dipentaskan semula bermula semalam dan hari ini, dalam dialek Melayu Sarawak.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kelainan pada pementasan ini ditonjolkan menerusi penampilan aktor popular, Ungku Ismail, Anas Ridzuan dan Elya, selain mengekalkan pelakon asal iaitu Sherie Merlis, Anding Indrawani, Chopie Chakap, Shah Kimin dan Taufik Hanafi.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 11:43pm
d