mutakhir

Yasin dalangnya

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG etnik Rohingya dikenali sebagai Yasin dipercayai antara dalang utama kegiatan penyeludupan migran membabitkan rakan senegaranya dari Bangladesh ke Malaysia.

Sumber memberitahu, Yasin berusia 40-an pernah ditahan polis pada 2015 namun dibebaskan.

“Yasin kaya, banglo atau rumah mewahnya saja bernilai RM1 juta di Bukit Mertajam. Anaknya pula dihantar ke sekolah antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, selain mendalangi kegiatan penyeludupan migran sekitar utara tanah air, Yasin juga mempunyai kedai borong barangan kering di sebuah pasar raya di Bukit Mertajam.

“Pelanggannya dalam kalangan etnik Rohingya. Dia adalah pembekal kepada peruncit kecil dalam kalangan mereka,” katanya.

Katanya, Yasin lebih berhati-hati dalam menjalankan kegiatan haramnya dan mempunyai ramai ejen kecil di bawah jagaannya untuk menguruskan penyeludupan.

“Sekali tengok dia (Yasin) kurang aktif namun kami syak dia antara yang terbabit dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

Harian Metro dalam laporan eksklusifnya semalam melaporkan PPM menyelamatkan 65 pelarian etnik Rohingya yang kebuluran dan kelaparan selepas bot dinaiki mereka hanyut 20 hari ketika cuba diseludup masuk ke negara ini.

Sindiket terbabit dipercayai menyeludup etnik Rohingya itu dari Kem Kutupalong, Chittagong, Bangladesh dengan bayaran RM1,300 dan RM1,800 seorang.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih ramai pelarian etnik Rohingya dari Bangladesh akan masuk ke perairan negara menggunakan khidmat sindiket penyeludupan migran.

Katanya, pihaknya menyedari perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap sindiket tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kawalan dari Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diperketat,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 7:45am
d