mutakhir

Syabu RM141,450 dalam gula, susu tepung

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SOROK syabu dalam paket susu tepung dan gula pasir.

Itu taktik baharu sindiket penyeludupan dadah yang berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama, dekat Tawau, semalam.

Dalam kejadian jam 8.36 pagi itu, bertindak daripada maklumat risikan menerusi Ops Pluto Timur, sepasukan anggota APMM menerusi Ops Pluto Timur cuba menghampi seorang suspek lelaki di kawasan jeti berkenaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Pengarah Zon APMM Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

“Suspek menyusup dalam kalangan orang ramai di kawasan pasar awam sebelum gagal dikesan.

“Sebelum itu, suspek dilihat meninggalkan beg sandang berwarna hitam bersama satu bungkusan plastik berwarna merah di atas jeti berkenaan.

“Pemeriksaan awal pada bungkusan plastik merah itu menemui satu kotak makanan segera yang didalamnya mengandungi satu paket gula dan tepung susu,” katanya pada sidang media di pejabat APMM di Tawau, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan gula itu menemui tujuh bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu.

“Manakala dalam bungkusan susu tepung pula 12 bungkusan plastik disyaki dadah jenis yang sama,” katanya.

Mohd Yusri berkata, rampasan itu merupakan rampasan kedua membabitkan dadah jenis Syabu selepas kes pertama pada 11 Januari lalu apabila berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 17 kilogram Syabu dalam bungkusan teh Cina bernilai RM2.5 juta di kawasan pesisiran Pantai Batu Payung

“Jumlah berat keseluruhan dadah yang dirampas kali ini seberat 943 gram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM141,450,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek cuba menyeludup dadah berkenaan ke negara jiran dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 12:42pm
d