mutakhir

Penuntut maut rempuh treler rosak

Oleh Hassan Omar

PENUNTUT Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Alor Gajah, Melaka maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang treler rosak di Kilometer 216.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Muhammad Zaim Akmal Azhar, 21, yang dalam perjalanan dari ADTEC untuk pulang rumahnya di Bukit Baru, Melaka melanggar belakang treler bermuatan papan yang diletakkan di sebelah kiri susur masuk ke lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pemandu treler, Mohd Nasir Abdul Rahman, 37, yang dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Johor terpaksa memberhentikan kenderaannya kerana mengalami kerosakan.

“Siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R datang dari arah Plaza Tol Simpang Ampat, di Alor Gajah, untuk masuk ke lebuh raya tetapi melanggar belakang treler.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu treler tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian cuaca baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 1:49pm
d