mutakhir

Budak 13 tahun jual dadah?

Oleh Juwan Riduan

REMAJA lelaki warga asing berusia 13 tahun bukan sahaja menagih dadah malah turut disyaki mengedar dadah di sekitar pekan Inanam, di Kota Kinabalu.

Dia ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam Ops Ice Breaker di pekan Inanam, kelmarin.

Polis turut merampas beberapa paket plastik lut sinar berisi dadah syabu disyaki untuk dijual kepada pelanggannya di kawasan pekan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, remaja lelaki itu antara 12 individu yang ditahan dalam serbuan Ops Ice Breaker di tiga lokasi berasingan di bandar raya ini iaitu Kampung Air, Sinsuran dan sekitar pekan Inanam yang bermula 29 hingga semalam.

"Ketika remaja lelaki itu ditahan, dia dipercayai sedang berurus niaga menjual dadah jenis syabu kepada pelanggan di sekitar pekan Inanam.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 12 lagi individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) akta sama," katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Sementara itu, Habibi berkata, sepanjang tempoh minggu kajian bermula 25 Januari hingga semalam juga, seramai 46 individu berjaya ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 29 individu adalah warga tempatan manakala 17 yang lain warga asing. Semua yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun.

"Jumlah keseluruhan rampasan sepanjang tempoh itu sebanyak 13.48 gram syabu dianggarkan bernilai RM2,022 mengikut harga pasaran dadah semasa," katanya.

Tambah Habibi, usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di dalam daerah ini.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 3:19pm
d