mutakhir

26 GRO ditahan di kedai kopi korek

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBUAH restoran di Jalan Pudu di Kuala Lumpur, yang terkenal dengan gelaran ‘kedai kopi korek’ kerana menyediakan khidmat layanan wanita pelayan pelanggan (GRO) diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan 17 pegawai imigresen 11.30 malam tadi.

“Seramai 88 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, kami menahan 26 wanita warga asing dari China, Indonesia, Myanmar dan Thailand yang bekerja sebagai GRO, penari, penyanyi serta pekerja premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, premis ini menawarkan khidmat layanan GRO dan aktiviti kalungan bunga untuk menarik pelanggan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, GRO terbabit akan menemani pelanggan ketika makan serta minum di restoran itu.

Pada masa sama, mereka akan membuat persembahan di pentas sebelum dihampiri pelanggan untuk mengalung bunga sebagai tips.

“Kalung bunga berkenaan bernilai RM50 hingga RM100.

“Kami turut menahan tiga lelaki Bangladesh dan dua lelaki Myanmar yang bekerja di restoran itu,” katanya.

Pada operasi berasingan, pihaknya menyerbu sebuah rumah urut yang menawarkan khidmat seks di sekitar Sri Petaling di sini, 2.30 pagi tadi.

“Pengusahanya menawarkan khidmat seks pada harga antara RM178 hingga RM188 bagi tempoh 45 minit.

“Ketika serbuan, wanita warga asing itu cuba melarikan diri namun gagal.

“Hasilnya, kami menahan lima wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia. Kami turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai penyelia, juruwang serta penjaga wanita terbabit,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan ditahan ialah 37 warga asing dan dua warga tempatan.

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 6:08pm
d