mutakhir

Sedut pasir, rumah penduduk retak

Oleh BERNAMA

PENDUDUK di Kampung Lubuk Batu di Jitra mendakwa rumah didiami mereka mengalami keretakan serius akibat aktiviti pengambilan pasir di kuari pasir oleh sebuah syarikat persendirian sejak dua tahun lalu.

Penduduk, Hazilawati Harun, 43, mendakwa aktiviti penyedutan pasir di kuari berkenaan menyebabkan mendapan tanah berlaku, sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

“Saya mohon aktiviti itu dihentikan segera, kami sangat bimbang kerana tapak kuari hanya 200 meter dari rumah.

“Keretakan di rumah kami kini boleh dilihat jelas di dinding ruang tamu, bilik tidur, dapur dan bilik air sebab makin membesar.

“Tanah di belakang rumah juga berlaku mendapan dan runtuhan kecil hingga membimbangkan kami, terutama apabila musim hujan nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hazilawati berkata, penduduk ada memaklumkan kebimbangan itu kepada syarikat berkenaan, dan mereka membina tembok simen di belakang rumah.

“Tapi, lama kelamaan tanah tetap mendap dan ia (tembok) tidak menyelesaikan masalah. Kami nak minta ganti rugi untuk baiki semula bahagian rumah yang retak, kerana kami tak mampu,” katanya.

Menurutnya, selain diancam tanah runtuh, penduduk turut berdepan masalah debu pasir yang dibawa angin dari tapak kuari itu hingga menjejaskan kesihatan mereka.

Suri rumah, Nur Hafiza Rusli, 24, mendakwa aktiviti kuari pasir berdekatan itu menyebabkan dinding rumahnya mula mengalami keretakan.

“Bila balik rumah mak di sini, saya takut duduk dalam rumah, apa saja boleh berlaku sebab di sini tanahnya jenis pasir dan boleh jerlus” katanya.

Seorang lagi penduduk Sanusi Hashim, 58, berkata, seluruh rumahnya mengalami nasib yang sama, dan setiap hari ada saja keretakan baharu dan yang lama makin melebar.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Pejabat Tanah dan Galian negeri Shahir Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan penduduk itu secepat mungkin.

“Pihak kami mengambil maklum masalah yang dihadapi penduduk dan pemantauan di tapak berkenaan akan dijalankan pada kadar segera. Jika berlaku perlanggaran syarat, pihak tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 6:31pm
d