mutakhir

Dua sudah ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA individu yang disyaki sebagai dalang di sebalik insiden provokasi dan ancaman terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Ulu Tiram semalam sudah ditahan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha diteruskan bagi mengesan individu lain yang turut terbabit dalam insiden berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan, Seksyen 355 Kanun Keseksaan, Seksyen 357 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. d

Katanya, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden itu secara telus, tegas dan berintegritri tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

“Saya memandang serius insiden itu yang berlaku ketika beliau (Syed Saddiq) ketika dalam program rapat umum Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di Ulu Tiram.

“Insiden itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dan gagal menghormati undang-undang negara.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu jawatankuasa khas dan berjaya menahan dua individu yang disyaki dalang di sebalik kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyeru semua pihak supaya sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak dalam apa cara yang boleh menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Orang ramai juga diseru untuk tidak mempolitikkan insiden ini dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial bagi mengelakkan tercetusnya ketidaktenteraman awam dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah mengarahkan PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti individu terbabit dalam insiden berkenaan dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Saya memandang serius insiden berkenaan. Ketika program itu berlangsung, sekumpulan individu menyerang program berkenaan dan membuat kacau sehingga program terpaksa dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak sesekali melakukan perkara yang mengganggu gugat keharmonian negara dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Berita berkaitan:

UMNO nafi terbabit insiden provokasi

Polis Johor tubuh jawatankuasa khas

'Saya tidak akan maafkan'

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 7:56pm
d