mutakhir

Dua hari hilang RM70,000

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PESARA guru kerugian RM70,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mangsa berusia 62 tahun itu dikatakan menerima panggilan dari LHDN kerana mempunyai tunggakan cukai yang belum dijelaskan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa yang baru empat tahun bersara dikatakan mempunyai tunggakan sebanyak RM32,057.

Beliau berkata, mangsa dimaklumkan namanya didaftarkan atas sebuah syarikat di Ipoh, Perak.

“Mangsa kemudian menerima panggilan kedua daripada seorang lelaki mendakwa dirinya pegawai polis dan menyatakan syarikat itu terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.

“Berikutan itu mangsa diarahkan memindahkan semua wang yang terdapat dalam akaun bank miliknya ke akaun yang lebih selamat bagi mengelakkan wang simpanan terbabit dalam aktiviti berkenaan (sindiket dadah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, mangsa turut diugut jika gagal berbuat demikian, satu waran tangkap terhadapnya akan dikeluarkan dan boleh dikenakan hukuman mati.

Akibat takut, mangsa kemudian membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun yang diberikan sindiket berjumlah RM70,000 selama dua hari berturut-turut.

“Bagaimanapun mangsa hanya tersedar ditipu apabila gagal berhubung dengan pemanggil selepas selesai membuat pindahan wang dan tampil membuat laporan polis.

“Laporan dibuat pada Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Rozi mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan panggilan dari pelbagai agensi kerajaan termasuk mahkamah, LHDN, Kastam, PDRM atau pihak yang memaklumkan mereka terbabit dalam penggubahan wang haram.

Beliau berkata, sindiket jenayah itu selalu menggunakan modus operandi berkenaan untuk tujuan penyamaran dan menipu mangsa mereka.

“Orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di talian 04-7747222 atau tampil ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Selain itu orang ramai juga boleh membuat semakan terhadap akaun bank yang ingin dimasukkan wang atas sebarang urusan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dengan melayari laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 8:44am
d