mutakhir

Seorang lagi ditahan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

POLIS menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung insiden provokasi dan kekecohan ketika perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Ulu Tiram, Bandar Seri Alam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, tangkapan itu membabitkan suspek lelaki berusia 30-an yang ditahan lewat petang semalam, sekali gus menjadikan jumlah yang ditahan seramai tiga orang bagi membantu siasatan kes.

“Semua tangkapan dilakukan di Johor Bahru. Polis masih menjalankan siasatan dan mengenal pasti latar belakang mereka termasuk dari parti politik mana.

“Polis juga akan mendapatkan perintah reman bagi ketiga-tiga individu itu hari ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Johor Bahru, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Dalam kejadian antara 9 malam hingga 11.30 malam Jumaat lalu, satu program rapat umum ARMADA Johor dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, diadakan di tapak perkhemahan hutan di Ulu Tiram, dekat Johor Bahru.

Mohd Kamarudin berkata, polis menerima laporan yang menyatakan ketika program itu berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian kemeja-T berwarna hitam sejumlah 100 hingga 150 orang memasuki kawasan terbabit.

“Kumpulan pemuda itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian akan tetapi polis berjaya mengawal keadaan secara profesional tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan pemuda yang hadir itu dengan sengaja menimbulkan kekecohan dengan melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsurkan ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian,” katanya.

Berita berkaitan:

Dua sudah ditahan

UMNO nafi terbabit insiden provokasi

Polis Johor tubuh jawatankuasa khas

Serah siasatan kepada polis

'Saya tidak akan maafkan'

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 12:38pm
d