mutakhir

PPSMI: Akan bincang lanjut dengan Tun M [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, setakat ini pihaknya belum berkesempatan berbincang secara terperinci mengenai cadangan yang dikemukakan Mahathir itu.

“Semasa mesyuarat bersama (pentadbiran) yang diadakan di KPM bersama Tun, beliau ada berkongsi pandangan dan visi untuk menggunakan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

“Kami tidak ada peluang lagi untuk berbincang secara terperinci mengenai pelaksanaannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Program ‘Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) di Maktab Sultan Ismail, di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman dibuat Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan bahawa Bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah rakaman video ringkas mesyuarat sebelum dimuat naik dalam Twitter@chedetoffocial, kelmarin.

Teo berkata, setakat ini penggunaan Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains hanya untuk Program Dwibahasa (DLP) dan ia digunakan di 2,000 sekolah di seluruh negara.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pelaksanaan PPSMI bersama Tun bila beliau ada masa nanti,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 1:48pm
d