mutakhir

Wajar hukuman lebih keras

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

UNDANG-UNDANG terhadap pemandu mabuk yang diguna pakai di beberapa negara akan dijadikan rujukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam mengkaji akta baharu yang lebih berat.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan yang bersedia meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk.

Malah, katanya, beliau antara individu terawal yang memberi cadangan meminta kerajaan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah terbabit.

“Pada kita hukuman sedia ada terlalu ringan iaitu kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan hanya didenda RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.

“Jadi, saya sudah meminta Bahagian Siasatan dan Perundangan JSPT untuk mencadangkan apa jua hukuman lebih keras,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Azisman berkata, pihaknya akan mengkaji undang-undang dari beberapa negara lain namun tidaklah sampai ke tahap mengenakan hukuman mati seperti yang dicadangkan Taiwan.

“Namun hukumannya akan lebih berat dan kita bakal mendapat persetujuan pucuk pimpinan jika dipanggil Kementerian Pengangkutan untuk bersama bermesyuarat membincangkan pindaan akta ini.

“Untuk rekod, seramai 5,235 pemabuk ditahan membabitkan 3,003 operasi sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2017.

“Selain itu, kita juga berharap kerajaan dapat memberi peruntukan tambahan untuk menambah mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) bagi memeriksa kandungan alkohol.

“Setakat ini, kita hanya ada 55 unit EBA untuk seluruh negara yang mana ia akan dihantar setiap 12 bulan kepada SIRIM untuk ditentukan sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak,” katanya.

Menurutnya, jika ia diluluskan, penggunaan alat ini akan dapat diperluaskan untuk menjalankan operasi mengesan pemandu mabuk.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 3:25pm
d