mutakhir

Bertuahnya kamu dik [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

DUA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri (SMKM) di Langkawi, diterbangkan dengan helikopter sebagai gimik perasmian Program Imersif Tinggi (PIT).

Pelajar bertuah, Myra Anne, 17, dan Laila Maisara Nazrat, 14, diterbangkan Kapten Low Wai Ming dari padang sekolah itu jam 1.45 petang tadi menaiki helikopter jenis Robinson R44.

Pengerusi Panitia Bahasa Inggeris (PBI) SMKM, Sufina Halim berkata, program itu sejajar dengan usaha pengukuhan Bahasa Inggeris di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Kami pilih ‘Let’s Fly High With English’ sebagai tema bagi PIT di sekolah ini dengan sokongan para waris dan individu yang turut menaja helikopter.

“Selain membawa slogan terbang tinggi di udara, kami turut mengedarkan risalah perbualan harian sebagai usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kepada warga sekolah,” katanya ketika ditemui di Langkawi, hari ini.

Program PIT itu dirasmikan Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Azmil Munif Mohd Bukhari bagi mewakili Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Yusof Nayan; Pemangku Pengetua SMKM, Yusop Muhamad dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKM, Abd Razak Jusoh.

PIT dianjurkan PBI SMKM bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 3:33pm
d