mutakhir

Catuan air Melaka: Paip utama pecah dah pulih

Oleh Hassan Omar

KESUKARAN dilalui penduduk empat kampung di Tanjung Bidara, Melaka, susulan saluran paip utama pecah berakhir apabila bekalan air pulih semula awal pagi ini.

Paip utama milik Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) itu pecah di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru kelmarin, menyebabkan catuan air yang sepatutnya pulih 10 pagi semalam, berlanjutan hingga tengah malam.

SAMB dan kontraktor bertungkus lumus membaiki paip utama itu sejak kelmarin hingga tengah malam tadi bagi memastikan penduduk di situ tidak terjejas teruk berikutan catuan air sejak Rabu lalu.

Sepanjang kerja membaiki paip utama itu dijalankan, penduduk Kampung Jeram, Ujong Padang, Lubok Redan dan Pulau terpaksa mengambil bekalan air dari lori tangki yang disediakan SAMB.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara, Jefri Sharif berkata, dalam kejadian kira-kira 9 malam kelmarin, air dari paip berkenaan melimpah ke jalan raya selepas paip pecah.

“Sepatutnya bekalan air pulih pada 10 pagi semalam sejajar dengan jadual catuan air yang dikeluarkan SAMB sebelum ini yang menyatakan tiada catuan pada Sabtu dan Ahad.

“Bagaimanapun, paip pecah menyebabkan bekalan air tidak dapat dipulihkan pada 10 pagi semalam, sebaliknya bekalan hanya berjaya dipulihkan pada pagi ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Lubok Redan, Abdullah Shuib, 43, berkata, dia menjangka bekalan air pulih pada pagi semalam dan tidak menyangka paip utama SAMB pecah sehingga menjejaskan penduduk.

“Apabila kami menghubungi SAMB, barulah kami tahu ada paip pecah di Kampung Tengah, menyebabkan kampung kami tidak mendapat bekalan air,” katanya ketika ditemui di lokasi lori tangki SAMB mengagihkan air di hadapan Masjid Kampung Lubok Redan, malam tadi.

Sementara itu, SAMB melalui Facebook rasminya menjelaskan, SAMB menyediakan beberapa lori tangki untuk mengagihkan air kepada penduduk Tanjung Bidara dan Kuala Linggi yang terjejas akibat kejadian itu.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 3:34pm
d