mutakhir

Panjat pagar elak kejadian lebih teruk [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tindakannya memanjat pagar untuk keluar dari kawasan restoran adalah bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk dalam kejadian dikepung sekumpulan individu di Ulu Tiram, Johor, kelmarin.

Syed Saddiq berkata, laluan keluar ketika itu hanya melalui pintu depan di mana polis dan penganjur ada memberitahu keadaan mungkin akan jadi lebih teruk jika beliau bertembung dengan kumpulan terbabit.

“Polis tidak mahu perkara itu terjadi dan pilihan yang ada guna jalan lain dengan memanjat pagar itu.

“Bukan saya seorang sahaja, Exco Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen, Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa di Johor, Mazlan Bujang turut memanjat pagar,” katanya ketika ditemui pada program ‘Luncheon Talk’ Bersama Menteri sempena ‘Malaysia Future Leaders School Tier 3’ di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai saman yang akan dikemukakan Pemuda UMNO terhadapnya, Syed Saddiq berkata, beliau sudah dimaklumkan berhubung perkara itu namun tetap dengan pendiriannya kerana kenyataannya itu dibuat hasil taklimat oleh polis.

“Selepas kejadian itu, saya tidak dapat pulang ke hotel dan terpaksa balik ke Johor Bahru sebelum diberi taklimat oleh polis pada jam 1 pagi.

“Kenyataan saya berhubung ia dilakukan oleh Pemuda UMNO selepas hasil taklimat oleh polis dan menyerahkan kepada mereka menjalankan siasatan.

“Saya cuma mahu keadilan dan berpuas hati dengan siasatan polis susulan penahanan tiga orang dan harapnya ia tidak berakhir di sini,” katanya.

Menurutnya, beliau juga ingin menghantar isyarat bahawa budaya samseng tidak boleh ditoleransi di dalam negara demokrasi.

“Paling teruk mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) malah saya tanya kepada pegawai apa salah saya sedangkan saya hormat institusi beraja.

“Saya juga tidak teragak akan menyaman individu yang membawa berita palsu konon saya menjanjikan bayaran menyebabkan kumpulan itu mengepung kami,” katanya.

Beliau berkata, tidak masuk akal ada berjanji ingin membayar RM500 untuk hadir pada program malam terbabit sedangkan pegawainya sendiri tidak pernah mendapat bayaran sebanyak itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Syed Saddiq dikepung lebih 200 individu yang berlagak seperti gangster ketika makan malam bersama ahli keluarga dan rakannya di sebuah restoran di Ulu Tiram, kelmarin.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 5:49pm
d